Khamis, 9 Julai 2009

Kisah Getir Menonton TV..................

Tahun 1974 …

Setiap hari saya berjalan kaki hampir 2 kilometer dari rumah untuk menonton TV di rumah seorang kawan dikampung sebelah.

Bagaimanapun kerana terlalu minat dan asyik menonton siri ‘Six Million Dollar Man’, ‘Combat’, ‘Space 1999’ dan ‘Charlie’s Angel’, sejuk, gigitan nyamuk tidak dirasai.

TV hitam putih menggunakan tenaga generator. Kekadang terpaksa balik awal ke rumah kerana generator kehabisan minyak.

Dalam perjalanan pulang dari kampung sebelah sewaktu melintas pokok kayu ara dikatakan berhantu, saya berlari sekuat hati dengan selipar Jepun dipegang di kedua belah tangan. Jika selipar dipakai, bimbang kaki tersadung. Sampai dirumah emak pasti memberikan ‘ceramah’ berjela. Antara kata-katanya, “Tengok TV boleh kenyang ke?,” sambil beberapa cubitan singgah di pinggang.

Malas menonton TV di rumah jiran di kampung sendiri, takut pasir di kaki mengotorkan lantai rumah kerap disapu. Kata emak, “Tak malu pergi rumah orang!”.

Jika tiada pilihan, membayar 10 sen sekali menonton TV di rumah jiran. Wang dikutip digunakan untuk mengecas bateri kereta digunakan sebagai bekalan tenaga TV. Ketika itu tiada bekalan elektrik di kampung. Jika bateri habis, skrin TV mengecil, lalu saya pulang, hampa.

Jejari pernah terkepit di pintu rumah jiran pemilik TV, biarpun dia nampak tangan kanan saya memegang daun pintu ketika ingin naik ke rumah. Sakit, pulang ke rumah, jejari disapu minyak panas, masuk ke bilik dan tidur.

Tiga anak saya tidak pernah melalui pengalaman getir sebegitu hanya untuk menonton TV.